Monday, 3 February 2014

17 AMALAN YANG MENYEBABKAN SIKSA KUBUR

JAUHI 17 AMALAN YANG MENYEBABKAN SIKSA KUBUR 

Mereka yang mendapat azab atau seksa kubur adalah kerana semasa di dunia ini mereka melakukan salah satu atau lebih daripada 17 dosa dan kesalahan yang dilarang oleh Allah S.W.T. Disebutkan oleh Imam Ibnu Qayyim rahimahullah bahawa seksa kubur ditimpakan kerana berbagai macam dosa dan maksiat, di antaranya: 

1. Melaga-lagakan (mengadu domba) dan mengampu. Nabi S.A.W berwasiat kepada Sayidina Ali : “Wahai Ali ! Saya melihat tulisan pada pintu syurga yang berbunyi “Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang bakhil (kedekut), orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, dan bagi orang yang suka mengadu domba (mengasut).”

 2. Tidak basuh dengan suci selepas buang air kecil. Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda: “Bersih-bersihlah kamu daripada kencing, sebab umumnya seksa kubur itu kerana kencing. (yakni hendaklah dicuci kemaluan sebersih-bersihnya.)

 3. Solat tanpa bersuci. Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : “Allah tidak menerima solat tanpa bersuci” (Hadis Riwayat Muslim ) Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. pernah melihat seseorang melakukan solat, sedangkan pada tumitnya ada sedikit yang tidak terkena siraman air wuduk. Nabi S.A.W. memerintahkannya untuk mengulangi wuduk dan solatnya . (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Dawud) Nabi S.A.W. menyuruh orang tersebut untuk mengulangi solatnya kerana solat tersebut dilakukan tanpa bersuci dan tidak sah.

4. Berdusta. Rasulullah S.A.W. bersabda kepada Sayyidina Ali k.w. yang bermaksud : “Wahai Ali ! Berbuatlah jujur sekalipun hal itu akan membahayakan dirimu di dunia. Sesungguhnya kejujuran itu bermanfaat di kemudian hari. Dan janganlah berdusta sekalipun bermanfaat bagimu ketika itu kerana kedustaan itu akan menyulitkan kamu di kemudian hari.”

 5. Melalaikan dan malas mengerjakan solat. Nabi S.A.W. ada bersabda yang bermaksud : “ Bermula orang yang meninggalkan solat pada hal ia dalam keadaan sihat, maka Allah tidak memandang kepadanya dengan pandangan rahmat, dan baginya kelak azab yang amat hebat melainkan kalau ia bertaubat dari perbuatannya itu”

 6. Tidak mengeluarkan zakat. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “Barangsiapa mempunyai emas atau perak senisab, sedang tidak di keluarkan zakatnya, kelak di hari kemudian ia akan di kejar-kejar oleh ular yang besar dan sangat berbisa dari neraka yang mengigit tangannya sehingga terpotong, kemudian tangannya kembali sebagai sediakala, di gigit lagi ular itu, demikianlah setiap masa, sehingga akhirnya orang yang bakhil itu akan di seret ke Neraka Jahannam”

 7. Berzina. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : “ Jauhilah oleh kamu akan zina, kerana kecelakaannya empat macam iaitu hilang seri (cahaya) pada wajahnya , di sempitkan rezekinya , dan kemurkaan Allah atasnya dan menyebabkan kekal di dalam neraka.” (Hadis riwayat Thabrany dan Ibnu Abbas) 

8. Mencuri. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : ”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang mas” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim) 

9. Berkhianat. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Empat perkara, siapa yang terdapat padanya empat perkara ini, maka ia adalah munafik tulen, dan siapa yang terdapat padanya salah satu darinya, maka padanya ada satu ciri kemunafikan; apabila diberi amanah ia berkhianat, apabila bercerita ia berdusta, apabila membuat janji ia mungkiri dan apabila berdebat ia curang.” (Hadis Riwayat Bukhari no. 34, 2459, 3178 dan Muslim no. 2635. dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a.)

10. Menfitnah sesama umat Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 11. Makan riba. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman , bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah riba (yang belum di pungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah , bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu . Dan jika kamu bertaubat (dari mengambil riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” (Surah Al- Baqarah ayat 278-279) 

12. Tidak menolong orang yang di zalimi. Firman Allah S.W.T. dalam hadis qudsi yang maksudnya : “Wahai segenap hambaku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan perbuatan zalim atas diri-Ku dan Aku telah menjadikan hal tersebut sebagai perkara yang haram antara sesama kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi.”(Hadis Riwayat Muslim)

13. Minum khamar ( tuak, arak atau minuman keras ). Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “ Empat (macam manusia) tidak Allah masukkan mereka itu ke syurga dan tidak akan merasai kenikmatannya, peminum arak , pemakan riba, menzalami (memakan) harta anak yatim dengan tidak hak dan derhaka pada ibu atau bapa.” (Hadis Riwayat Al-Hakim) 

14. Memanjangkan kain hingga di bawah mata kaki. Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Barangsiapa menyeret pakaiannya kerana sombong maka Allah tidak memandangnya pada hari kiamat”.(Hadis Riwayat Bukhari)

 15. Membunuh. Firman Allah S.A.W. yang bermaksud : “Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahannam , kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya, dan mengutukinya serta menyediakan azab yang besar baginya.” (Surah An- Nisaa’ ayat 93) Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud : “ Orang yang mati terbunuh , akan datang di hari kiamat dengan mengantungkan kepalanya di salah satu tangannya , sambil memegang pembunuhnya dengan tangan yang lain , sedang darah terus mengalir. Apabila mereka berdua sudah ada di hadapan Allah, maka orang yang terbunuh itu berkata :’ Ya Allah, inilah orang yang telah membunuh aku’. Maka Allah berkata kepada sipembunuh :’ Celakalah engkau’, lalu di bawalah orang itu ke neraka.”

16. Mencaci sahabat Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T. berfirman, yang bermaksud : “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah reda kepada mereka dan mereka reda kepadaNya. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya; mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang besar”. (Surah at-Taubah ayat 100) Al-Qadhi ‘Iyaadh berkata :”Jumhur ulama berpendapat bahawa orang yang menghina/mencaci maki para shahabat Rasulullah S.A.W. harus dihukum takzir (yakni harus didera menurut kebijaksanaan hakimIslam )”. [Fathul Bari VII hal. 36]. 

17. Mati dalam keadaan membawa bidaah. Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Barangsiapa membuat buat hal baru yang baik dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang yang mengikutinya dan tak berkurang sedikitpun dari pahalanya, dan barangsiapa membuat-buat hal baru yg buruk dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang yang mengikutinya dan tak dikurangkan sedikitpun dari dosanya” (Sahih Muslim hadis no.1017, demikian pula diriwayatkan pada Sahih Ibn Khuzaimah, Sunan Baihaqi Alkubra, Sunan Addarimiy, Sahih Ibn Hibban dan banyak lagi).

riana67

No comments: